Monday, November 5, 2012

Jin @ Syaitan Tandas

Assalamu’alaikum wwt.
Para pembaca yang dihormati,
Tandas merupakan salah satu tempat kotor yang sangat disukai oleh makhluk jin jahat/ syaitan.  Oleh itu syaitan akan cuba sedaya upaya menggunakan kesempatan yang ada untuk menguasai seseorang muslim setiap kali orang itu masuk ke tandas. Di dalam sebuah buku seorang mangsa sihir telah melaporkan bahawa dia pernah memasuki tandas dengan tidak membaca doa perlindungan. Seketika kemudian dia telah dirasuk oleh syaitan. (saya ada kisah sebegini yang akan dikongsi sebentar lagi)



Oleh sebab itulah nabi Kita yang tercinta Muhammad saw telah mengajar kita kaedah perlindungan daripada diganggu oleh jin jahat ini.  Sejauh manakah kita mempraktikkan kaedah melindungi diri daripada diganggu oleh jin  yang berada di dalam tandas?
Ketahuilah bahawa ada doa khusus yang perlu kita baca sebelum melangkah kaki masuk ke dalam tandas. Begitu juga ada doa yang perlu kita baca ketika keluar dari tandas..
Berapa ramai antara kita yang selalu membaca doa ini ketika masuk dan keluar tandas? Anak-anak kecil yang belajar di taska atau di tadika sering diajar doa sebegini tetapi apabila besar, doa ini dipandang remeh. Mengapa?
Doa Masuk tandas:

Ertinya: "Ya Tuhan, hamba berlindung kepadaMu dari segala kekotoran dan segala kejahatan" (Riwayat Bukhari)
Doa keluar tandas:


Ertinya: "Bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakanku kenikmatan dan mengekalkan dalam diriku kekuatan dan menjauhkan segala penyakit daripada aku." (Riwayat Ibnu sunni dan al-Tabarani)

Manakala sunnah Rasulullah s.a.w ketika masuk ke tandas mesti melangkah dengan mendahului kaki kiri dan keluar tandas dengan mendahului kaki kanan. Tandas adalah tempat yang kotor berbanding dengan dunia diluar tandas jadi semestinya jangan kita memuliakan tandas tetapi mesti memastikan tandas sentiasa bersih. Sebaik-baiknya ketika buang air besar (berak) hendaklah ditutup kepala kita dengan kain kerana dikatakan syaitan akan kencing / berak di atas kepala yang tidak ditutup.
Saudara pembaca yang dihormati,
Saya ada satu kisah merawat pesakit yang diganggu oleh jin tandas. Ceritanya begini....
Ditempat saya bertugas (SMK. Jengka Pusat 2, Bandar Jengka, Pahang) ada satu tandas yang sudah lama ditutup dan tidak digunakan oleh pelajar. Maklumlah bila sesuatu tempat sudah ditinggalkan, maka jin akan duduk di situ. Pada satu pagi seorang pekerja baru telah membuka tandas tersebut untuk dicuci. Entah macammana dia sakit perut dan apa lagi terus membuang air besar di salah satu tandas di situ. Seketika itu juga dia terasa sakit-sakit dan gatal di seluruh badan. Kepalanya berdengung dan tidak ingat apa-apa....
Salah seorang guru menyedari keadaan pekerja tersebut lalu menelefon saya untuk dirukyah. Ketika dirukyah, suaranya berubah dan pergerakannya agresif. Saya memang tidak memberi ruang untuk makhluk jin jahat menunjuk ego.. perjanjian dibuat dan jin tersebut keluar dan pekerja tersebut sedar.
Ringkasan:
1.      Ketika masuk ke dalam tandas, langkah dengan kaki kiri.
2.      Baca doa masuk tandas dan selesaikan hajat anda. Elok tutup kepada dengan sapu tangan atau kain
3.      Bila dah selesai hajat keluarlah dari tandas dengan langkah kaki kanan dan membaca doa keluar tandas.
4.      InsyaAllah kita akan selamat dari gangguan jin atau syaitan.
Pengajaran :
1.      Jin @ syaitan ada di mana-mana. Mereka memang sentiasa mencari peluang untuk mengganggu anak Adam.
2.      Marilah sentiasa beramal dengan ajaran nabi kita Muhammad saw dalam segenap aspek kehidupan. Ingatlah ISLAM adalah cara hidup yang lengkap dan sempurna sepanjang zaman.

Thursday, October 25, 2012

Lagi info mengenai jin dan syaitan

Sejak akhir-akhir ini terlalu banyak gejala penyakit sama ada penyakit fizikal mahupun rohani yang berkait rapat dengan gangguan jin atau syaitan. Perkara ini tidaklah menghairankan kerana jin  atau syaitan memang selalu dengki dan berdendam dengan manusia.  Sebagai manusia, kita perlu sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan segala tipu daya mereka. Siapakah mereka?

Jin:

Jin adalah makhluk ciptaan Allah. Jin berasal dari alam yang berbeza dengan alam manusia dan malaikat. Menurut Muhammad Asad dalam bukunya “The Message of The Holy Quran”, perkataan jin berasal daripada kata akar ‘janna’ yang bermaksud tersembunyi, terselindung atau diselubungi kegelapan.  Jadi, jin adalah makhluk yang secara haknya adalah terselindung daripada pancaindera  manusia.

Jin diciptakan daripada api iaitu lebih dahulu daripada manusia sebagaimana firman Allah s.w.t :

Maksudnya: “Dan jin itu Kami ciptakan sebelum manusia daripada api yang sangat panas” (surah al-Hijr : 27)

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan daripada Aisyah r.ha.

Maksudnya : “Malaikat dicipta daripada cahaya, jin dicipta daripada api dan manusia dicipta daripada apa yang diciptakan kepadamu (tanah).  (Riwayat Muslim)

Syaitan:
       Syaitan menurut bahasa Arab adalah ruhun syarirun bermaksud roh jahat atau buruk, al-hayatul khabitsah atau kehidupan yang buruk dan mutamarridun madsadun atau penderhaka yang merosak.  Syaitan secara istilah adalah sifat jahat yang tersembunyi dalam diri jin dan manusia yang menimbulkan kerosakan dan kehancuran. Jadi syaitan boleh juga dikatakan sebagai profesion atau gelaran bagi jin dan manusia jahat. Perkara ini sesuai dengan definisi yang dijelaskan oleh Allah berkenaan syaitan dalam al-Quran:
“Syaitan yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia. Daripada golongan jin dan manusia” (Surah An-Nas :ayat 5-6)
“Dan demikian Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh iaitu syaitan-syaitan daripada jenis manusia dan jin. Sebahagian lagi membisikkan kepada sebahagian lagi perkataan yang indah-indah bagi menipu manusia. Jika Tuhanmu menghendaki, pasti mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.” (Surah al-Anaam: ayat 112)
Antara sifat syaitan adalah sombong, membuat kerosakan, sesat dan cinta pada kejahatan. Jin yang bersifat sombong dan cinta pada kejahatan disebut syaitan. Manusia yang memiliki sifat itu juga dinamakan syaitan.  Syaitan daripada manusia dan syaitan daripada jin yang ditetapkan Allah sebagai musuh para nabi memperdaya sebahagian yang lain dengan kata-kata indah yang dibisikkan. Yang dimaksudkan dengan bisik adalah memindahkan internal (dalaman) daripada sebahagian kepada sebahagian yang lain, menipu dan mendorongnya bagi melakukan kerosakan, sesat dan melakukan maksiat kepada Allah.
Nama-nama jin dan fungsinya:
Menurut Ibnu Abdil Bar, perkataan ‘jin’ berdasarkan kajian ahli kalam dan ilmu bahasa Arab memiliki beberapa tingkatan. Antaranya;
a.      JIN : Golongan yang sebenar
b.      SYAITAN : Golongan jin yang membuat kerosakan serta maksiat.
c.       MAARID : Golongan jin yang lebih teruk daripada Ifrit
d.      IFRIT : Golongan jin yang lebih teruk dariapda Maarid. Mereka merupakan golongan jin yang menipu, mempunyai kekuatan yang luar biasa.
e.      AMMAR atau AWAMIR : Golongan jin yang tinggal bersama manusia. Mereka tinggal di rumah-rumah keluarga baik dan juga kelauarga jahat. Mereka suka mengusik.
f.        UMMUL SYIBYAN : jin yang sering mengganggu anak kecil.
g.      AL-HIN : Jin yang berbentuk anjing dan yang paling rendah tarafnya.
h.      NISBI atau NASIBIN : Sebaik-baik jin.
Golongan Jin :
Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w menjelaskan jin terbahagi kepada TIGA golongan:
“Ada tiga golongan jin: Segolongan yang terbang di udara, segolongan yang menyerupai anjing dan ular serta segolongan lagi yang menetap dan berpindah-randah.”
(dilaporkan oleh Tabrani dan Hakim dengan sanad sahih)

Monday, October 8, 2012

Sedikit pengalaman untuk dikongsi : Merawat melalui telefon

Assalamu’alaikum wwt.

gambar hiasan

Dunia semakin canggih dek kerana terciptanya pelbagai alat komunikasi seperti telefon, internet dan sebagainya. Jarak yang jauh bukan lagi penghalang untuk berhubung.  Hanya beberapa detik sahaja kita boleh  berbicara dengan sesiapa sahaja.
Begitu juga kaedah rawatan segera boleh diikhtiarkan untuk meredakan kerasukan dan gangguan jin yang agresif mengamuk sehingga pegangan  lelaki dewasa tidak mampu untuk melemahkan tenaga seorang perempuan. Saya ada pengalaman untuk dikongsikan di sini tetapi bukanlah untuk bermegah diri..
Baru-baru ini saya didatangi seorang ibu dan anaknya yang mengadu seorang menantu perempuannya  yang berada di Kuala Lumpur telah mengamuk dan meronta-ronta tidak ketahuan. Ahli keluarganya yang berada di sana telah bercadang untuk membawanya pulang ke Jengka, Pahang.  Pesakit tersebut dahulunya pernah saya rawat (gangguan jin) sehingga sembuh dengan izin Allah. Agaknya kerana serasi, pada kali ini mereka bercadang untuk dirawat lagi oleh saya.

Menjerit

Pada mulanya saya diajak untuk ke Kuala Lumpur pada petang itu bagi menangani masalah tersebut. Saya agak keberatan kerana jarak yang jauh...penat juga. Akhirnya saya tergerak hati untuk merukyah pesakit yang sedang mengamuk itu melalui telefon disamping memakrifatkan mengunci gerak dari jauh.  Maka, bacaan rukyah ayat-ayat suci Al-Quran saya perdengarkan kepada pesakit melalui telefon bimbit dengan penuh konsentrasi..alhamdulillah, tidak beberapa lama kemudian, pesakit telah lemah dan rebah. Jadi, dengan segera pihak keluarga pesakit di sana membawanya pulang ke Jengka.

Sesampainya pesakit di Jengka, saya diminta untuk melakukan rawatan susulan di rumah. Saya dapat merasakan ada gangguan yang bersarang di tubuhnya.  Apalah kemampuan saya jika tidak dibantu oleh Allah....maka dengan penuh kerendahan hati dan pasrah kepada Allah saya merawatnya dan pesakit merasakan bahang panas yang menjalar dalam tubuhnya kesan energi hikmah ayat-ayat al-Quran yang mulia.. Alhamdulillah ada sedikit perubahan. Esoknya rawatan disambung lagi disamping membekalkan pesakit dengan amalan zikir dan benteng diri tambahan.

Mesej:
1.      Ilmu Allah maha luas dan tidak terbatas. Kita manusia sebagai khalifah Allah memang diberi keistimewaan untuk menangkis ancaman jin dan syaitan asal saja ilmu dan kaedahnya kita pelajari.
2.      Dalam hal tertentu, kekuatan niat dan makrifat mampu menembus jarak dan masa dan ini diakui dalam sains bahawa adanya gelombang yang mampu berhubung dengan seseorang dari jarak jauh. Tambahan pula niat tadi beserta dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang menjadi penawar dan penyembuh bagi setiap penyakit.
3.      Yakinlah bahawa Allah akan menolong kita pada setiap masa dan ketika.

Sekian coretan saya pada kali ini. InsyaAllah berjumpa lagi..