Tuesday, August 7, 2012

Membersih Kuali sama seperti Membersih Hati

Assalamu’alaikum wwt.


Ada satu masa aku berkesempatan membersihkan kuali yang selalu keluargaku gunakan sehari-hari. Mungkin kerana kesibukan kerja atau tiada masa barangkali, kuali tersebut hanya dibasuh ala kadar sahaja. Jadinya, terdapat banyak kesan hitam di permukaan malah lebih banyak tompokan hitam di bawah permukaan kuali ( buntut kuali).
Pada ketika itu tergerak di hati aku untuk membersihkan kuali tersebut sehingga berkilat. Lalu kuambil penggosok periuk dan serbuk pencuci. Apa lagi, dengan bersungguh-sungguh aku menyental dengan penggosok dawai tersebut.. Wah, memang degil sungguh kotoran tersebut! Tidak cukup dengan penggosok dawai tersebut, aku ambil pisau dan mengikis kerak hitam yang degil itu...apa lagi, berkeping-keping kerak tersebut jatuh dan tertanggal.
Serentak dengan itu, terdetik di hatiku beginilah agaknya caranya  untuk mencuci kekotoran dan karat hitam akibat dosa di dalam hati. Jika hati dibiarkan kotor dek dosa dan maksiat zahir dan batin, tidak mustahil akan ada kekotoran maknawiah (seni) yang melekat di hati. Maka, tidak boleh tidak hati tersebut perlu dicuci, perlu digosok dan perlu dikikis dengan alat pencuci yang berkesan.  Jikalau dicuci sambil lewa sahaja nescaya kotoran tidak akan mudah tanggal.


Maksudnya, begitulah kaedahnya jika kita hendak membersihkan hati.. perlu kepada usaha dan tindakan yang bersungguh-sungguh. Serbuk pencuci hati ialah dengan zikrullah (ingat Allah) setiap masa dan ketika, baik ketika tidur mahupun jaga. Zikir perlu dilakukan dengan setiap helaan turun naik nafas kerana selagi bernafas, selagi itu kita hidup. Disamping itu, perlu juga mujahadah seperti menahan hawa nafsu disamping perlu kepada bimbingan guru yang mursyid lagi murabbi.

Sekian sahaja coretanku pada kali ini. Muga berjumpa lagi.
Terima kasih kerana sudi menjadi peminat setia blog saya.

Wednesday, August 1, 2012

Penawar Kanser Dari Ayat-Ayat Al-Quran

Assalamu’alaikum wwt.

Dan kami turunkan dari Al-Quran (sesuatu) yang menjadi PENAWAR dan RAHMAT bagi orang yang beriman..":QS Al-Israk:82
Mungkin ramai di luar sana yang telah didiagnosa menghidap KANSER, satu penyakit yang begitu menakutkan sesiapa sahaja.

Di Malaysia, penyakit kanser adalah satu dari 10 penyebab kematian.Dianggarkan terdapat 150 kes bagi setiap 100,000 penduduk Malaysia.Manakala dari segi bilangan kes baru yang dikesan dianggarkan dalam lingkungan 27,000 kes setahun.

Rasanya setiap orang tahu 'setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati'.Tahukah anda satu surah dari Al-Quran untuk menghancurkan sel-sel kanser?

Sebenarnya ini adalah ilmu yang saya ingin kongsikan melalui tulisan Saudara Raflis Sabirin (semoga Allah memberi ganjaran setimpal atas ilmu yang dikongsikan) yang diterbitkan dalam Majalah Milenia edisi Februari 2010.

Penulis telah berkongsi pengalaman beliau merawat kanser selama 27 tahun dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran, terutama dari Surah al-Fil.



Maksudnya:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? (1)

Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? (2)

Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan; (3)

Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras; (4)

Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat. (5)



Demikian mukjizat ayat-ayat suci Al-Quran.Jika diletakkan di sebuah gunung, nescaya gunung akan hancur lenyap kerana takut kepada Allah. Demikian juga jika diletakkan atas apa-apa penyakit, nescaya penyakit tersebut akan hancur dan lenyap.

Cara Pengamalan

Selepas solat lima waktu, bacalah Surah Fatihah sekali, diikuti Surah Al-Ikhlas (tiga kali), selawat ke atas Nabi (tiga kali) lalu teruskan membaca Surah al-Fil (21 kali)

Setiap kali baca Surah Al-Fil, hendaklah tiup dan hembuskan pada tempat penyakit kanser tersebut. Setiap kali menghembuskan nafas itu, hendaklah ingat maksud dalam hati, supaya Allah hancur lenyapkan penyakit kanser tersebut sebagaimana hancur dan lenyapnya pasukan tentera bergajah seperti dalam ayat terakhir Surah Al-Fil itu.

Lakukan 21 kali baca dan tiup selama 21 hari selepas solat lima waktu.

Dan sekiranya penyakit kanser itu berada dalam organ badan seperti di dalam usus, limpa, buah pinggang dan di dalam kepala, maka caranya seperti tersebut di atas itu juga. Cuma tambahannya hendaklah tarik nafas perlahan-lahan seakan-akan kita memasukkan amalan surah itu ke dalam tubuh badan, teruatamanya ke tempat kanser tersebut.Lakukan tarik nafas tersebut sehingga 21 kali juga selama 21 hari setiap lepas solat lima waktu.

Lakukan dengan penuh keyakinan dan sabar.Harus diingat, yang menyembuhkan ialah Allah Taala. Ayat Al-Quran tersebut hanya sebagai asbab atau wasilah untuk mencapai maksud.

Tuesday, July 31, 2012

Keutamaan Meninggalkan Sesuatu akan Beroleh Sesuatu

Assalamu’alaikum wwt.

Tajuk yang akan saya bawa pada post kali ini mungkin agak pelik pada pemahaman saudara pembaca, tetapi amat berguna dalam kehidupan seharian kita. Jikalau kita dapat beramal dengannya nescaya kita akan beroleh kemenangan.
Di dalam kitab Tanbihul Ghafilin karangan Abul Laits Assamarqandi ada menyebut bahawa:
Berkata  Muhammad bin Abdullah Al-Abid :
1.       Siapa yang meninggalkan penglihatan yang tidak perlu, ia akan mendapat taufik untuk khusyu’.
2.      Siapa yang meninggalkan sombong, diberi taufik untuk bertawadhu’.
3.      Siapa yang meninggalkan bicara yang tidak penting, ia akan mendapat hikmah.
4.      Siapa yang meninggalkan makanan yang berlebihan, ia akan diberi taufik untuk
merasakan lazatnya ibadah.
5.      Siapa yang meninggalkan senda gurau, ia diberi wibawa dan keindahan.
6.      Siapa yang meninggalkan tertawa, maka ia berwibawa dan hebat.
7.      Siapa yang tidak menginginkan kekayaan, maka ia dicinta.
8.      Siapa yang tidak menyelidiki hal orang lain, maka ia diberi taufik untuk meyelidiki kesalahan diri sendiri.
9.      Siapa yang meninggalkan ragu-ragu terhadap sifat-sifat Allah, maka ia akan selamat dari nifak.
Dari Malik bin Dinar dari Al-Ahnaf bin Qays berkata, Umar berkata kepadaku:
1.      Siapa yang banyak tertawa kurang wibawanya.
2.      Siapa yang suka bergurau diremehkan orang.
3.      Siapa yang membiasakan sesuatu, terkenal dengan kebiasaannya.
4.      Siapa yang banyak bicara, banyak salahnya dan siapa yang banyak salahnya hilang malunya, dan siapa yang hilang malunya kurang waraknya (hati-hati) dan siapa yang kurang waraknya, mati hatinya dan siapa yang mati hatinya maka NERAKA lebih layak baginya.
Bahaya terlalu banyak bergelak ketawa:
1.      Tercela oleh ulama dan orang yang sopan sempurna akalnya.
2.      Memberanikan orang bodoh kepadamu.
3.      Jika bodoh akan bertambah kebodohan dan bila alim akan berkurang ilmunya. Ini kerana seseorang alim bila tertawa (yang berlebihan) bererti telah memuntahkan ilmunya.
4.      Melupakan dosa-dosa yang lampau.
5.      Memberanikan berbuat dosa pada masa akan datang, sebab bila bergelak ketawa akan mengeraskan hati.
6.      Akan menanggung dosa orang yang tertawa kerana tertawamu. Lebih-lebih lagi pelawak yang mereka cerita untuk membuatkan orang lain ketawa.
7.      Akan menyebabkan banyak menangis di akhirat kelak.

Sekian untuk info kali ini. Mudah-mudahan kita akan dapat membersihkan diri rohani kita dengan beramal perkara-perkara yang saya catatkan di atas tadi.