Sunday, February 12, 2012

Penyakit Stroke /Angin Ahmar Menurut Perspketif Islam

Stroke angkara jin
Tahukah anda bahawa penyakit "Stroke" adalah berpunca dari JIN?

Apa ni, sikit-sikit jin...sikit-sikit jin....sekarang ni kan zaman moden, mana ada jin? Mungkin itulah persoalan yang ada dalam fikiran anda ketika ini..

 Perkataan Stroke diperolehi dari bahasa Inggeris yang bermaksud penyakit lumpuh atau Angin Ahmar di dalam bahasa Arab. Penyakit ini adalah angkara jahat perbuatan makhluk halus iaitu jin dan syaitan yang akan menyelinap masuk ke dalam rongga, darah dan urat saraf manusia.

Bahana Stroke
Stroke atau angin ahmar adalah suatu penyakit yang amat digeruni kerana ia boleh menyebabkan lumpuh atau maut dalam tempoh yang sekejap, dan hampir tidak disangka-sangka datangnya. Strok terjadi apabila salur darah di otak pecah selepas ia tersumbat. Pengumpulan mendakan lemak, kolesterol, kalsium dan bahan-bahan lain dalam arteri menyempitkan saluran darah yang menyebabkan tekanan darah terlalu tinggi, dan akhirnya arteri ini pecah. Tanpa rawatan segera ia boleh menyebabkan lumpuh, mati sebelah badan atau kematian terus.


salur darah tersumbat di otak menyebabkan stroke


Namun, terdapat tanda atau simptom yang jelas seseorang itu mendapat stroke, seperti tiba-tiba merasa kebas atau lemah sebelah badan, biasanya tangan dan lengan, badan tidak seimbang, tidak boleh bercakap dengan betul, mulut atau pipi menjadi herot, dan lain-lain lagi

Kebiasaan penyakit ini menyerang seseorang yang lanjut usia umurnya dan sering dikaitkan dengan penyakit kencing manis, darah tinggi, darah pekat (polisitemia) dan sakit jantung.

Pelbagai kaedah rawatan dianjurkan oleh perubatan moden dan pelbagai alternatif yang lain seperti urutan, kawalan pengambilan makanan, tips cara hidup yang sihat serta pelbagai ubat-ubatan untuk mengubati penyakit ini. Namun begitu, dalam perubatan islam mempunyai perspektif dan kaedah rawatannya yang tersendiri bagi menangani masalah ini.


Sejarah Rihul Ahmar
Pada suatu ketika cucunda Nabi Muhammad S.A.W telah menghidap penyakit rongga sehingga menyebabkan darah keluar daripada mulutnya. Para sahabat dan Rasulullah S.A.W sendiri telah mendengar tentang penyakit yang sedang dideritai oleh al-Hassan. Tiba-tiba malaikat Jibril A.S datang menemui baginda memberitahu yang cucunda baginda terkena Rihul Ahmar.

Baginda bertanya;

" Wahai saudaraku JIbril, adakah ubat untuknya?"
"Ada!" Jawab Jibril

Malaikat JIbril pon menghilangkan diri sebentar. Kemudian ia muncul dan berkata.

"Bahawasanya Allah S.W.T telah mengurniakan kepada Tuan satu hadiah doa Mustajab. Barangsiapa membacanya biarpun sekali seumur hidupnya, nescaya dia terselamat daripada Rihul Ahmar"

Baginda Rasulullah S.A.W telah membaca doa tadi untuk cucunnya Hassan . Berkat rahmat dan kehendak dari Allah SWT Hassan pun sembuh ketika itu juga dan bangun dalam keadaan sihat.

Rasulullah S.A.W bersabda kepada para sahabat agar mempelajari doa tersebut dan mengajarnya pada umatnya agar doa itu dapat memberi manfaat kepada mereka, memelihara diri daripada terkena penyakit Rihul Ahmar ini.

Sejarah Rihul Ahmar ini sebenarnya lebih awal daripada itu. Peristiwa kemunculan Rihul Ahmar yang hakikatnya adalah sejenis JIN berlaku pada zaman pemerintahan Nabi Sulaiman A.S lagi.

Ketika semua makhluk termasuk binatang dan segala jenis JIn tunduk kepada Nabi Sulaiman A.S, muncullah seekor JIN yang bernama "Rihul Ahmar" yang enggan tunduk kepada Nabi Sulaiman A.S. Besarnya seumpama saiz sebatang pokok. Apabila ditanya oleh Nabi Sulaiman A.S;

"Siapa kamu?"

Maka dijawab olehnya; "Saya adalah Rihul Ahmar"

Tanpa mahu tunduk tanda hormat, kemudian ia pun terus menghilangkan dirinya kerana enggan tunduk kepada Nabi Sulaiman A.S. Ia muncul kembali pada zaman Rasulullah S.A.W apabila menyerang Saidina Hassan R.A seperti yang diceritakan tadi.

Wallahu 'Alam.

Friday, February 10, 2012

Ciri-ciri Ajaran Sesat

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menyenaraikan ciri-ciri ajaran sesat dan penjelasannya di dalam buku Penjelasan Terhadap 58 Ciri-ciri Ajaran Sesat Di Malaysia, yang ditulis oleh Haji Abdul Hamid @ Yusoff bin Yunus. Di dalamnya juga dimuatkan sebanyak 7 kriteria-kriteria ajaran sesat dan 58 ciri-ciri yang dijelaskan.
Garisan-garisan tersebut telah dipersetujui oleh Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama, Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura dan dinyatakan di dalam buku, Kriteria-kriteria Ajaran Sesat BAHEIS JPM 1994.

Antara kriteria-kriteria ajaran sesat ialah :

Pertama
Kepercayaan kepada rukun-rukun iman dan asas-asas akidah secara bertentangan dan tidak selaras dengan akidah Ahli Sunnah Wa al Jamaah, seperti mempercayai kitab lain yang mampu menyaingi dan memansuhkan al Quran, mempercayai terdapat kiblat selain dari Kaabah dan seumpamanya.

Kedua
Mempertikai kebenaran al Quran atau Hadith Nabi SAW yang telah diakui keshahihannya oleh ulama’ Hadith.

Ketiga
Mana-mana ketua atau ahlinya yang mendakwa dirinya adalah nabi terakhir, Nabi Isa AS, Imam Mahdi al Muntazar atau seumpamanya.

Keempat
Kepercayaan kepada penyatuan beberapa agama terbesar di dunia sebagai sebuah agama yang sepatutnya menjadi anutan kepada semua manusia.

Kelima
Pendewaan diri, pemimpin atau mana-mana individu dalam kumpulan tersebut, secara bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wa Al Jamaah. Contohnya mendakwa (secara pasti) bahawa diri atau gurunya sebagai ahli Syurga, boleh menebus dosa, memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki oleh orang lain seperti boleh bekahwin lebih daripada empat dan sebagainya.

Keenam
Mengadakan bid’ah atau pendapat baru yang bertentangan dengan akidah dan syariah yang telah ditetapkan dengan dalil Qath’ie yang tidak boleh dipertikaikan. Contohnya menghapuskan kewajipan berjihad, Solat Jumaat, puasa di Bulan Ramadhan, haji di Mekah dan seumpamanya.

Ketujuh
Mentafsir, menghuraikan al Quran atau Hadith Nabi SAW mengikut sesuka hati.

Kriteria-kriteria ini jelas menampakkan kepada kita, bahawa Islam meletakkan sempadan-sempadan. Namun akhir-akhir ini, sempadan-sempadan tersebut telah dilanggar dan ditokok tambah sehingga menyesatkan manusia. Golongan ini sering mendakwa bahawa merekalah yang membawa kepada kebenaran sedangkan mereka jauh tersimpang dari kebenaran.

Selain itu, buku tersebut juga telah menyenaraikan sebanyak 58 ciri-ciri khusus Ajaran Sesat, iaitu :
1. Mempercayai bahawa semua agama adalah sama
2. Mempercayai bahawa guru mereka boleh menebus dosa dengan wang
3. Memansuhkan syariat Islam dan membuat syariat baru
4. Guru membuat pengakuan memegang kunci syurga
5. Mengaku Allah SWT menjelma dalam diri guru atau seseorang
6. Mempercayai bahawa makhluk-makhluk seperti kayu, batu atau lain-lain, memiliki kuasa mutlak
7. Menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh Allah SWT
8. Menghalalkan nikah adik beradik
9. Meminta pertolongan terus daripada orang yang telah mati (bukan bertawassul)
10. Mengaku bahawa gurunya sebagai nabi atau malaikat
11. Mempercayai kebangkitan nabi lain selepas Nabi Muhammad SAW
12. Mempercayai wahyu turun selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW
13. Mengaku dirinya sebagai Nabi Isa AS
14. Syeikh atau gurunya mendakwa mempunyai mukjizat
15. Mempercayai roh orang mati boleh memberi pertolongan apabila namanya diseru
16. Guru mengaku Imam Mahdi dan muridnya yang terkanan ialah Nabi Isa AS
17. Perbuatan zina, judi, minum arak dan segala bentuk dosa boleh dilakukan oleh guru khalifah terkatnya dan menjamin akan mendapat keampunan Allah SWT ke atas dosa pengikutnya
18. Amalan Haji tidak semestinya di Mekah, bahkan di tempat selain daripadanya juga dibolehkan
19. Sembahyang tidak perlu berjemaah dan tidak perlu mengadap kiblat
20. Mengaku mengetahui perkara-perkara ghaib dan mampu menilik nasib seseorang
21. Islam seseorang tidak sah jika tidak diislamkan oleh gurunya
22. Semua manusia melihat Allah SWT di dunia ini
23. Ajaran hendaklah dirahsiakan oleh pengikut, dan sekiranya mereka membocorkannya akan ditimpa bala
24. Guru atau murid membuat pengakuan menerima wahyu
25. Mendakwa bahawa dirinya sebagai wakil Nabi, dan mampu memberi syafaat kepada muridnya
26. Mengaku diri atau gurunya ma’sum (tiada dosa)
27. Mempercayai roh orang mati menjelma ke dalam jasad orang hidup
28. Boleh memanggil roh orang mati (tahdhir al arwah) dalam amalan menurun oleh bomoh atau tukang sihir
29. Boleh meramal kedatangan Imam Mahdi dan Hari Kiamat
30. Mempercayai bahawa orang tertentu ghaib (tidak mati) dan akan lahir semula sebagai Imam Mahdi
31. Pengikut tidak boleh berkahwin dengan orang yang bukan pengikut ajaran tersebut
32. Murid-murid tidak dibenarkan mengahwini janda gurunya
33. Huruf-huruf dalam perkataan tertentu mempunyai lambangnya tersendiri
34. Al Quran mempunyai makna batin, yang berbeza (menyalahi) dengan maknanya yang zahir
35. Islam itu ada zahir dan batinnya. Batinnya ialah isi, setelah sudah memperolehi isinya, kulit tidak lagi berguna
36. Mendakwa dengan melalui tarekatnya, Allah SWT akan menurunkan Nur (cahaya) ke dalam badan Nabi Adam AS, turun temurun ke dalam badan semua nabi dan seterusnya ke dalam badan-badan imam (syiah) atau guru-guru, berterusan sehingga tidak berakhir
37. Mendakwa dirinya sebagai penjelmaan sahabat-sahabat Nabi SAW
38. Nikah menurut syariat hanyalah adat, oleh itu ia perlu bernikah sekali lagi yang dinamakan sebagai nikah batin
39. Ibadah Solat sudah memadai dengan niat semata-mata (lintasan hati)
40. Penyerahan rohani/jasmani kepada guru melalui nikah secara batin
41. Setiap murid dikehendaki menyerahkan diri, isteri, anak dan harta benda kepada gurunya
42. Amalan seperti zikir mampu menangguhkan tarikh Hari Kiamat
43. Sesiapa yang mengikut tarekatnya sahaja dibolehkan masuk ke Syurga
44. Mempercayai bahawa bacaan seseorang guru itu kepada sesuatu benda seperti batu, gunung dan lain-lain berkuasa memberi kesan baik atau buruk
45. Mempercayai bahawa dirinya selaku guru dan anak muridnya sahaja yang layak mendapat pertolongan Allah SWT (ma’unah)
46. Gurunya mampu memberikan kuasa yang luar biasa kepada pengikut-pengikunya
47. Mengaku dan mempercayai seseorang tu boleh berhubung terus dengan Allah SWT melalui Nur Muhammad SAW yang berada di dalam dirinya
48. Guru mendakwa bahawa tugas-tugas para Rasul diamanahkan kepadanya
49. Bersemadi di tempat-tempat gelap memusatkan kepada satu-satu hajat yang bukan dari ajaran Islam
50. Sebelum pergi menunaikan haji ke Mekah, dikehendaki bersuluk terlebih dahulu di Panca Budi di Medan atau memadai di Medan sahaja
51. Mendakwa sebagai wali sedangkan bergelumang dengan maksiat
52. Murid-muridnya tidak dibenarkan mengahwini mana-mana wanita yang diminati oleh gurunya
53. Meninggalkan Solat Jumaat kerana bersuluk
54. Mengagung-agungkan Yahudi dan keturunannya sebagai kerabat dan perlu dicontohi
55. Murid-murid dilarang berbincang sesama mereka jika terdapat kemusykilan, tetapi hendaklah dirujuk kepada guru
56. Mendakwa bahawa ajaran tarekatnya diambil terus daripada Rasulullah SAW dalam keadaan berjaga yang bertentangan dengan syara’
57. Mengikut secara membuta tuli ajaran gurunya, walaupun gurunya melakukan kesalahan dan dosa
58. Pengikut-pengikut lelaki atau perempuan dikehendaki melalui ujian yang dijalankan oleh gurunya di dalam sebuah bilik khas dan bersumpah tidak akan membocorkan apa yang terjadi di dalam bilik tersebut

Inilah dunia hari ini yang semakin menuju ke gerbang kiamat, segala yang dinyatakan oleh Nabi SAW semakin hari semakin terpapar di skrin mata manusia. Masihkah kita leka dengan kehidupan yang akan habis ini? Bagaimanakah keadaan sekeliling kita yang sentiasa menumbuhkan pemikiran-pemikiran sesat? Inilah tanda-tanda kiamat.


Penulis asal artikel ini:
Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil
Tahun 4, Kuliah Usuluddin,
Jabatan Akidah dan Falsafah,
Universiti al Azhar, Kaherah

Wednesday, February 8, 2012

TALASEMIA: Penyakit Genetik Yang Membawa Maut

Bismillahirrahmanirrahim.
Tujuan saya memaparkan artikel berkenaan penyakit talasemia ini bukanlah bermakna saya tergolong dalam kalangan yang pakar dalam bidang perawatan penyakit ini. Tetapi saya memegang konsep, setiap penyakit memang ada ubatnya, kecuali mati.
Tidak salah berikhtiar mencari penawar merawat dan menyembuhkan penyakit talasmia baik dalam rawatan moden mahupun dalam rawatan Islam. Kita memegang konsep: Allah yang mendatangkan penyakit...Allah jua yang menyembuhkan penyakit dan hanya Dia sahaja yang menentukan...tiada daya dan upaya kita, melainkan daya dan upaya Allah belaka.
Tambahan pula saya ingin berkongsi kaedah rawatan penyakit ini ekoran saya menerima satu panggilan telefon daripada hamba Allah yang berada di Sarawak bertanyakan doa apa yang perlu dibaca untuk merawat penyakit talasmia..Buntu juga pada mulanya untuk memberi doa /ayat yang perlu diamalkan, lalu saya berjanji akan memaparkan dalam blog ini...mudah-mudahan dapat dikongsi oleh ramai orang..InsyaAllah.

Sedikit info tentang penyakit talasemia
Talasemia merupakan penyakit genetik sel darah merah. Pesakit Talasemia tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dalam kuantiti yang mencukupi. Ini kerana gen yang mengawal penghasilan hemoglobin telah terjejas. Hemoglobin adalah satu protein di dalam sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen ke seluruh tisu-tisu di dalam badan kita.
Bagaimana Talasemia merebak?  Talasemia adalah penyakit genetik atau keturunan di mana anak mendapat gen Talasemia daripada ibu bapa. Ianya bukan penyakit berjangkit iaitu tidak boleh ditransmisi melalui darah, udara, air atau pun sentuhan fizikal. Lelaki dan perempuan mempunyai peluang yang sama untuk mendapat penyakit ini. Satu daripada 20 penduduk Malaysia adalah pembawa gen Talasemia.
Terdapat 2 jenis Talasemia yang utama iaitu Talasemia minor (pembawa gen Talasemia) dan Talasemia Major (Pesakit Talasemia). Pembawa gen Talasemia tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan tetapi seorang pembawa gen Talasemia boleh menurunkan gen Talasemia kepada anak-anaknnya. Manakala pesakit Talasemia major akan menunjukkan tanda-tanda sejak  dari umur 3-18 bulan.Antara gejala tersebut adalah seperti badan sentiasa lemah dan resah, kesukaran bernafas, perut buncit disebabkan pembengkakan hati dan limpa, tumbesaran terbantut dan terdapat perubahan pembentukan pada muka apabila anak semakin membesar.
Rawatan bagi pesakit Talasemia ini dikenali sebagai rawatan transfusi darah  sebanyak 1 hingga 2 kali sebulan  dalam seumur hidup pesakit Talasemia. Rawatan ini akan mengambalikan paras hemoglobin ke tahap yang lebih baik dan tisu-tisu di dalam badan akan mendapat bekalan oksigen yang mencukupi.  Namun, proses rawatan transfusi darah yang berpanjangan ini akan menyebabkan pengumpulan zat besi yang berlebihan di dalam organ-organ penting didalam badan seperti jantung, hati dan kelenjar endokrin yang akan terjejas fungsinya. Justeru itu, rawatan penyingkiran zat besi amat penting bagi pesakit Talasemia major. Ia boleh diberikan secara suntikan. Pilihan lain adalah pembedahan membuang limpa bergantung kepada situasi tertentu.

Pencegahan Awal:
Walaubagaimanapun, terdapat langkah pencegahan untuk mengelakkan Talasemia dan perlu dilakukan oleh pasangan yang hendak mendirikan rumah tangga sebagai langkah keselamatan. Langkah yang pertama adalah menjalani penyaringan darah bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap Talasemia. Langkah kedua, sekiranya anda mempunyai ciri Talasemia dan ingin berkahwin, anda perlu bersikap terbuka dan berbincang mengenainya dengan pasangan anda. Bakal pasangan anda perlu menjalani ujian darah untuk mengetahui sama ada dia juga mempunyai ciri Talasemia atau tidak. Langkah ketiga, jika kedua-dua pasangan membawa ciri Talasemia, mereka perlu mendapatkan nasihat dan keterangan lanjut mengenainya dengan penghadiri kaunseling genetik . Ini perlu kerana sekiranya kedua-dua pembawa gen Talasemia berkahwin, kemungkinan besar anak yang dilahirkan merupakan pesakit Talasemia major yang boleh membawa maut.  Sekiranya kedua-dua ibu dan bapa adalah pembawa gen Talasemia, 25% kemungkinan anak mereka adalah pembawa Talasemia, 50% kemungkinan anak mereka adalah pembawa dan 50% kemungkinan anak mereka normal.

Ikhtiar rawatan melalui doa dan munajat
Andainya kita terkena penyakit talasemia (minor/major), insyaAllah, yakinlah bahawa al-Quran itu merupakan penyembuh yang paling mujarab berdasarkan ayat al Quran surah al Isra (82)

Kaedahnya:
1.    Sediakan sebotol air untuk didoakan.
2.    Mulakan dengan lafaz dua kalimah syahadah 3x, selawat 3x
3.    Tafakur sejenak lalu berniat dalam hati mohon Allah beri kesembuhan akan penyakit yang dideritai (talasemia dll.)...nyatakan kita ini hambaNya yang lemah hanya sekadar berusaha dan berikhtiar sahaja..Allah jua yang menyembuhkannya
4.    Kemudian bacalah doa..Antara doa/ayat yang disarankan:
a.    Surah al Fatehah sebanyak 7x
b.    Selawat Syifa sebanyak 7x
c.    Selawat Tafrijiyyah sebanyak 7x
d.    Fatehah 1x
e.    Doa 7 Syifa  7 x

Isyaallah..amalkan selalu untuk merawat penyakit yang sukar diubati.
Sekian.untuk perkongsian kali ini. bukanlah tujuan nak tunjuk pandai tetapi sekadar perkongsian. Jika ada komen, berilah komen yang membina..

Sumber rujukan:
          http://www.majalahsains.com/