Wednesday, October 12, 2011

Solat : Lambang Mikraj Hamba dengan Tuhan

Assalamu'alaikum wwt.

Kali ini saya tergerak untuk memperkatakan bab solat.



Solat merupakan tiang agama dan merupakan kewajipan terpenting bagi setiap umat Islam. Barang siapa mengerjakan solat, bererti menegakkan agama dan sebaliknya, barang siapa meninggalkan solat (secara sengaja) bererti meruntuhkan agama.

Malah amalan yang mula-mula ditanya di Padang Mahsyar nanti ialah solat. Jika pertanyaan tentang solat berjaya (yakni dikerjakan di dunia ini), maka perhitungan amalan seterusnya pun pasti berjaya dan mudah, begitulah sebaliknya jika ditinggalkan maka susahlah nasib kita.

Solat merupakan ibadah yang diterima secara langsung oleh Nabi kita Muhammad SAW. sewaktu peristiwa Isra' dan Mikraj. Solat 5 waktu sehari semalam sewajarnya dikerjakan dengan hati yang ikhlas sebagai lambang mikraj hamba kepada tuhannya. Tiada hijab yang terdinding antara kita dengan tuhan sewaktu bersolat.

Ibadah solat sebenarnya mampu membendung diri kita daripada melakukan maksiat. Kadang-kadang kita lihat ada orang yang bersolat tetapi masih melakukan maksiat..mengapa? Itu tandanya ibadat solat yang dilakukan oleh mereka masih belum sempurna...ya, masih belum sempurna.

Solat sebenarnya ada tingkatan tersendiri iaitu mengikut syariat, tarikat, hakikat dan makrifat. Kesemua tingkat ini mesti disepadukan menjadi satu. Ada orang yang kononnya sudah mengenal diri , tidak mahu mengerjakan solat. Dikatakan ibadat solat itu syariat sahaja (atau kulit ). Mereka solat pada taraf hakikat dan makrifat sahaja. Itu sebenarnya tidak betul dan tidak mengikut syariat nabi kita. Sedangkan nabi kita solat sehingga bengkak-bengkak kakinya.

Mengikut jalan hakikat (mengenal diri), carilah 'solat daim' atau solat berkekalan sepanjang masa dan ketika, baik ketika tidur mahupun jaga. Bab ini kena belajar dan mengadap guru mursyid. Jangan main ikut-ikut sahaja, nanti tersesat jalan..

Sekian sahaja perkongsian pada kali ini. Insya-Allah bersambung lagi.

Tuesday, October 4, 2011

Makrifat kepada Allah adalah puncak kebesaran nikmat

Bismillahirrahmannirrahim...

Dengan izin Allah, kali ini tergerak pula di hati saya memetik pengajaran dari Syaikh Ahmad ibni Athaillah di dalam kitab Hikam berkaitan dengan makrifat.

Berkata Syaikh Ahmad ibni Athaillah:
"Apabila telah dibuka bagimu jalan makrifat kepada Allah, maka dengan kemakrifatanmu itu jangan kamu pedulikan amalmu yang sedikit. Maka sesungguhnya Allah tidak akan membuka jalan kemakrifatan untukmu kecuali Dia menghendaki pengenalan kepadamu. Tidakkah kamu mengerti bahawa makrifat itu anugerah Allah kepadamu sedang semua amal perbuatanmu merupakan hadiah kepada-Nya. Sekarang dimanakah perbandingan antara yang kamu hadiahkan kepada-Nya dengan apa yang telah diberikan Allah kepadamu"

Keterangan:

Makrifat kepada Allah adalah mengenal kepada-Nya dengan penglihatan hati.  Makrifat ini merupakan puncak dari semua yang dituntut dan yang diangan-angan oleh seseorang.  Apabila Allah telah mengarahkan hamba-Nya dengan sebahagian sebab-sebab orang menjadi makrifat, lalu kepadanya dibukakan pintu kemakrifatan sehingga dia dapat menemukan ketenangan, maka hal itu merupakan nikmat yang besar.

Apabila Allah telah membukakan jalan untuk makrifat kepada-Nya, maka janganlah dipedulikan amalmu yang sedikit itu. Sebab makrifat itu merupakan anugerah Allah yang tidak tergantung kepada banyak  sedikitnya amal kebajikan.  Kerana sesungguhnya maksud orang memperbanyak amal kebajikan adalah agar dia dapat dekat dengan Allah. Dengan dibukanya pintu makrifat oleh Allah baginya meskipun amal kebajikannnay tidak seberapa merupaka petunjuk bahawa anugerah Allah berupa makrifat tidak berkehendakkan banyaknya amal kebajikan. Sebagaimana disebutkan bahawa amal kebajikan manusia ini merupakan hadiah yang diberikan kepada Allah. Sedang hadiah dari manusia ini walaupun banyak, bagi Allah bukan apa-apa dibanding dengan anugerah-Nya yang begitu besar.

Oleh sebab itu sedikit amal dengan disertai makrifat kepada Allah itu, lebih baik jika dibanding dengan banyak amal yang tidak diserai dengan makrifat kepada-Nya. Seperti contohnya orang yang sakit, maka orang yang sakit itu tentu berkurang amal ibadahnya. Tetapi kerana sakit yang dideritainya ini merupakan salah satu pintu kemakrifatan, maka jangan merasa banyaknya amal ibadah yang ditinggalkan itu disebabkan kerana sakitnya.  Padahal bahkan sebaliknya, bahawa dengan sakitnya itu dia merasa dekat dengan Allah....benci masalah duniawi dan cinta akhirat, rela mati dengan menyerahkan diri kepada Allah sepenuhnya. Dia mengerti bahawa Allah boleh berbuat menurut kehendak-Nya dan menyedari bahawa dirinya itu hna serta lemah.

Di dalam hadis yang bersumber dari Abu Hurairah r.a, dia berkata bahawa Rasulullah saw. telah bersabda (maksudnya)::
"Apabila Aku menguji hamba-Ku yang beriman, kemudian dia tidak mengeluhkan Aku kepada pengunjung-pengunjungnya, maka Aku lepaskan dia dari ikatan-Ku dan Aku gantikan kepadanya daging dan darah yang lebih baik daripada daging dan darahnya. Kemudian dia dapat memulai amalnya kembali"

Kesimpulannya, dapat dimengerti bahawa pintu kemakrifatan ada bermacam-macam, dimana tidak tergantung dengan banyaknya amal. Kadang-kadang dengan sakit dimana sipenderita tidak mengeluh boleh menjadi pintu makrifat baginya.

Sekian (5.30 pagi)

Monday, October 3, 2011

Tanda-tanda tidak adanya kesungguhan di dalam menghamba kepada Allah

Bismillah hirrahmanirrahim

Berkata Syaikh Ahmad ibni Ataillah di dalam kitab Hikam:
"Kesenanganmu agar orang mengetahui keistimewaanmu menunjukkan tidak adanya kesungguhanmu di dalam penghambaanmu (kepada Allah)"

Keterangan:

Keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada hambanya itu misalnya berupa ilmu yang bermanfaat, amal soleh, atau amal-amal batiniyah. Kalau orang dalam mengamalkan itu semua masih ada keinginan senang dilihat oleh orang lain, maka hal itu sebagai bukti tidak adanya kesungguhan di dalam menghamba kepada Allah.  Kerana sesungguhnya dalam menghamba adalah mencari keredhaan-Nya, bukan kepada lain-Nya. Jikalau orang itu memang menpunyai kesungguhan di dalam menghamba kepada Allah, pastilah dia sudah merasa puas dengan pengamalan ilmunya itu dan tidak senang kalau dilihat orang lain.

Sebahagian ulama mengatakan;
"Barang siapa merasa senang orang lain melihat amalnya, maka dia itu adalah orang yang riya'. Dan barang siapa merasa senang orang melihat tingkah lakunya, maka dia itu adalah pendusta."

Nabi Isa pernah berkata: " Jika orang berpuasa, maka hendaklah dia meminyaki rambutnya dan membasahi bibirnya sehingga kalau dia keluar, orang melihatnya tidak berpuasa. Dan apabila dia bersedekah, maka hendaklah dia berikan dengan tangan kanan dan menyamarkannya dari tangan kirinya. Dan apabila dia bersembahyang, maka hendaklah di menutupi tabir rumahnya, kerana Allah itu telah membagi pujian sebagaimana membagi-bagi rezki"

Berkata Syaikh Abu Abbas Al Mursi: 'Barangsiapa senang terkenal, maka dia budaknya terkenal. Barang siapa senang tersembunyi, maka dia itu budaknya tersembunyi. Dan barang siapa menjadi hamba Allah, maka samalah atasnya, apakah Allah akan melahirkan atau menyembunyikannya".

Untuk membuktikan kesungguhan di dalam menghamba kepada Allah, orang harus menghilangkan pandangan dan perhatian orang kepadanya. Ertinya, semua pandangan dan perhatian orang tidak usah diperdulikan. Anggaplah bahawa pandangan dan perhatian mereka itu tidak ada. Yang ada hanyalah penglihatan dan pandangan Allah kepadanya.

Menurut Harts bin Asad Al Muhasibi, tanda-tanda orang yang ikhlas kepada  Allah adalah dia tidak menghiraukan penilaian oleh manusia asalkan dia telah benar hubungannya dengan Allah, tidak ada yang mengetahui amal kebaikannya walau sebesar debu, dan tidak takut jika ada orang mengetahui amalnya yang tidak baik. Sebab jika dia merasa enggan untuk diketahui orang amal perbuatanya yang tidak baik, bererti dia ingin dipuji. Yang demikian ini bukanlah perilaku orang-orang yang benar, yang mempunyai kesungguhan di dalam menghamba kepada Allah.

Sekian,, untuk perkongsian kali ini, mudah-mudahan bermanfaat.